Ummu al-Barahin, Kitab Terpopuler Aqidah Aswaja Karya Imam Sanusi

0

KITAB Umm al-Barahin (أم البراهين) adalah sebuah kitab dalam bidang akidah yang terkenal di kalangan para ulama Ahli Sunnah wa al-Jama’ah dari aliran al-Asya’irah.  Kitab ini adalah sebuah karya al-Imam Muhammad bin Yusuf bin `Umar bin Syu’aib al-Sanusi al-Maliki al- Hasani al-Tilimsani (832-895H).

Tokoh yang terkenal dengan gelaran Imam al-Sanusi ini, merupakan seorang tokoh terkenal Ahli Sunnah wa Jama’ah, yang mendokong fahaman akidah dari aliran al-Asya’irah. Beliau merupakan seorang sarjana yang disegani pada kurun ke 9 Hijrah. Beliau mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan disiplin ilmu akidah semasa hayat dan selepas kewafatannya.

Beliau Pendekatan yang tersendiri, mudah dan ringkas dalam menyebarkan disiplin ini merupakan asas kepada penerimaan generasi berikutnya terhadap hasil karya al-Sanusi. Asas yang dibentuk oleh al-Sanusi menjadi acuan dalam perbincangan dan penulisan disiplin pengajian akidah selepasnya.

Kitab Umm al-Barahin yang juga dikenali dengan nama al-‘Aqidah al-Sughra dan Dhat al-Barahin adalah intipati dari kitab `Aqidah Ahl al-Tawhid, iaitu sebuah karya al-Sanusi sendiri yang juga dikenali dengan nama al-‘Aqidah al-Kubra. Penghasilan karya ini adalah kesinambungan dari usaha-usaha penghasilan karya ilmiah dalam bidang akidah sejak kurun kedua Hijrah lagi.

a dihasilkan bagi memenuhi tuntutan semasa masyarakat Islam yang amat memerlukan kepada satu karya akidah yang kemas dan mantap untuk digunakan bagi menghadapi suasana semasa umat Islam yang amat mencabar, berikutan penularan pengaruh ilmu falsafah dalam perbahasan ilmu akidah, sehingga masyarakat tidak dapat membezakan di antara unsur agama iaitu akidah dengan unsur falsafah

Oleh yang demikian, sudah tentulah penulisan beliau dalam Umm al-Barahin ini berasaskan metode al-Asya`irah yang menggunakan metode mantik atau logik dan ilmu wahyu dalam proses pendalilan bagi mengisbatkan doktrin-doktrin akidah Islam.

Kandungan kitab Umm al-Barahin

Kebiasaan kandung kitab dalam bidang akidah perbahasan akidah akan meliputi  apa yang terkandung dalam Rukun Iman yang enam. Namun begitu, kitab kecil ini hanya membincangkan permasalahan akidah yang berkaitan dengan ketuhanan dan kenabian sahaja. Secara kasarnya kitab ini mengandungi empat bahagian utama iaitu:

Pertama : Penjelasan hukum akal. Dalam bahagian ini beliau menjelaskan bahawa ada tiga hukum akal iaitu al-wujub (wajib), al istihalah (mustahil) dan al-jawaz (harus).

Kedua : al-Ilahiyyat. Dalam bahagian ini al-Sanusi menetapkan dua puluh sifat yang wajib dan mustahil bagi Allah yang wajib diketahui oleh mukallaf dan satu sifat yang harus bagi Allah S.W.T. yang wajib diketahui oleh mukallaf.

Ketiga : al-Nubuwwat, Dalam bahagian ini al-Sanusi menetapkan hanya tiga sifat sahaja yang wajib dan mustahil dan satu sifat harus bagi rasul yang wajib atas setiap mukallaf mengetahuinya.

Keempat: Huraian dua kalimah al-Syahadah. Dalam bahagian ini al-Sanusi menghuraikan dua kalimah syahadah berasaskan sifat sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah S.W.T. dan Rasul a.s. di sini juga beliau menjelaskan dua sifat ketuhanan iaitu al-istighna’ dan al-iftiqar.

Dari ulasan ringkas kitab Umm al-Barahin di atas, dapatlah dirumuskan bahawa walaupun kitab ini adalah sebuah karya akidah yang kecil, ringkas dan padat, namun isi kandungannya mencakupi sebahagian besar asas akidah Islam iaitu al-ilahiyyat dan al-nubuwwat. Gaya bahasa yang digunakan oleh al-Sanusi mudah difahami dan ciri ini merupakan antara keistimewaan karya ini.

Syarah-Syarah kitab Umm al-Barahin

Berikut disebutkan beberapa karya akidah berbahasa Arab yang menghuraikan atau mensyarahkan kitab Umm al-Barahin. Kewujudan pelbagai versi kitab syarahan terhadap kitab Umm al-Barahin ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh Umm al-Barahin dalam kalangan para ulama’ yang menyusul selepas al-Sanusi, di antaranya : 

1.       Kitab Syarh al-‘Aqidah al-Sughra, karya Imam al-Sanusi sendiri

2.      Kitab Hashiyah al-Bayjuri ‘ala Umm al-Barahin, karya al-`Allamah Ibrahim al-Bayjuri (1198H/1784M -1277H/1860.). 

3.      Kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Muhammad al-Makki bin Muhammad bin ‘Ali Ibn ‘Abd al-Rahman al-Syarsyali, Abu Hamid al-Batawari (1355H/ 1936M). 

4.      Kitab Tali’ al-Busyra `ala al-`Aqidah al-Sanusiyyah al-Sughra, karya Ibrahim bin Ahmad al-Marighani al-Tunisi (1349H). 

5.      Kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Ahmad bin `Isa al-Anshari (). 

6.      Kitab Tahdhib Syarh al-Sanusiyyah karya Syaikh Sa’id ‘Abd al-Lathif Fawdah. 

7.      Kitab al-‘Aqa’id al-Durriyyah Syarh Matn al-Sanusiyyah, karya al-Shaykh Muhammad al-Hashimi dan dicetak di Matba`ah Mustafa al-Babi  al-Halabi, Mesir.

8.     Kitab Syarh Umm al-Barahin, karya Muhammad bin Mansur al-Hudhudi.

***Abu Syahmin